SEJARAH PENUBUHAN

MAKTAB RENDAH SAINS MARA MUKAH

 

 

Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Mukah merupakan sebuah institusi pendidikan yang menjana generasi muda minda kelas pertama yang bermutu dan berkualiti dalam pelbagai aspek. MRSM Mukah mempunyai keluasan 19.312 hektar (47.84 ekar) siap dibina pada 2 Julai 2009. MRSM ketiga di negeri Sarawak ini mula beroperasi pada 18 Januari 2010 dengan kemasukan pelajar sulungnya melibatkan para pelajar Tingkatan 1 (61 orang) dan juga Tingkatan 4 (46 orang) pada 21 Jun 2010. Kini, seramai 533 orang pelajar sedang menuntut di MRSM Mukah.

MRSM Mukah dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur untuk kemudahan warganya seperti blok akademik yang dilengkapi dengan 13 buah makmal sains, 3 buah makmal komputer, 25 buah kelas, 4 buah bengkel Kemahiran Hidup dan Pendidikan Seni Visual, sebuah pusat sumber pembelajaran, dan sebuah bilik guru. Selain itu, MRSM Mukah diterajui oleh sebuah blok pentadbiran yang terdiri daripada sebuah pejabat pentadbiran dan sebuah bilik mesyuarat.

Terdapat 6 buah blok asrama yang dilengkapi dengan 132 buah bilik asrama, 2 buah bilik pelbagai guna, 6 buah stor asrama serta 12 buah bilik gosok. Selain itu, blok ini turut disediakan 2 buah pejabat asrama bersama 9 buah rumah warden. Turut dibina sebuah surau untuk kemudahan pelajar Muslim menunaikan solat dan sebuah dewan makan iaitu Dewan Selera. Di samping itu, terdapat sebuah dewan serbaguna yang berhawa dingin iaitu Dewan Setia Raja yang dilengkapi dengan sebuah bilik tetamu dan VIP.

Untuk memastikan pelajar cemerlang dalam akademik dan kokurikulum, MRSM Mukah turut dilengkapi dengan sebuah padang bola sepak dan ragbi, gelanggang bola tampar, bola keranjang, futsal, bola jaring, dan petanque. Terbaru, pada tahun 2013, MRSM Mukah telah dilengkapi prasarana indoor dan outdoor gymnasium untuk kemudahan seluruh warga maktab.

Besarlah harapan kami agar kewujudan MRSM Mukah di daerah ini dapat memberikan manfaat kepada masyarakat sekeliling seterusnya melahirkan generasi pemimpin berwibawa yang bakal menerajui dan mengangkat martabat Negeri Sarawak serta Malaysia di mata dunia.